REVISITING CINEMA #40 : Nyanyi Sunyi Dalam Rantang (25)

Dengan Luka Tetap Berkumandang - Dr. Anajin

Ketika rantang berdenting bukan untuk jamuan, melainkan untuk kematian harapan.


Aku tiba lewat, aku duduk di sebelah pintu masuk panggung mini KLFS, 24 Julai, semalam. Lampu sudah gelap, hadirin memenuhi panggung mini, tak pernah sekali sebelum ini penuh, waktu tayang filem aku, hanya 10 orang je hadir, mungkin sebab Garin Nugroho, siapa tak datang pasti rugi.   aku dudk, tak terlihat pengasas KLFS, yang juga sahabat lama.

“Imej pembuka Garin biasanya doa.”

Lampu merah perlahan lupus, dan benar, adegan sudah terpacak, Aku teringat radio transistor Opah aku di Tanjung Malim, milik arwah atu aku yang aku jadikan mainan; terngiang suara yang dipadamkan yang masih mahu terbang.

Nyanyi Sunyi Dalam Rantang ialah drama legal-arthouse Garin Nugroho yang menelusuri personaa bernama Puspa, peguam muda idealis, mengangkat empat kisah rakyat kecil terjerat dalam sistem, sembari menabuh harapan dengan dana kering namun jiwanya membara.

Dengan bajet yang Bitara Guru selalu gelak-gelak sebut “lebih murah daripada catering filem blockbuster satu hari”, Garin tetap menjadikan dewan mahkamah kelihatan seperti kubah panggung wayang kulit: cahaya neon biru membelah dinding, lantai marmar menggema langkah terhuyung-hayang sebagai saksi. Mandella Pracihara mengendali kamera, kadang statik 4 minit, kadang meluncur perlahan, seolah kita turut menolak kerusi kayu ke belakang, menanti keputusan yang tak kunjung adil.

Empat babak, empat nama, empat rentak. Setiap kali judul muncul, Tuminah, Kirman, Rusli dan Krisna, Puspa muncul di tepi layar, mengetuk rantang kosong. Tadinya aku fikir ia gimmick; baru aku sedar ia metronom harapan: “Belum menang hari ini, terus berharap esok.” Garin beritahu dalam bual bicara selepas tayangan, modul bengkelnya sejak 1989 menuntut kolektifnya berlatih negotiation with reality, tidak menipu kemiskinan, tetapi berdamai agar cerita terus hidup. Kelemahan ini jelas ada pada kolektif dalam negara tanah tumpah darahku ini, dan Bitara Guru yang hebat pun tak mampu menjaga kolektif sejujurnya.


Della Dartyan tidak berlakon, dia mengudara luka. Ada satu potongan close-up 45 saat, air mata menitis ke rantang, bergelegak seperti gong. Aku ingat kata Bitara Guru dulu: “Kalau kita ada dana gajah, tapi tiada telinga gajah untuk dengar derita rakyat, filem itu menjadi istana kosong.” Garin menjawab dengan senyum waktu diskusi dan menambah cahaya dalam jiwa aku, “Saya bikin filem pakai telinga masyarakat sebagai kamera.” Betul juga, di luar dewan, penonton menangis senyap, seolah suara mereka turut dipotong.

Usai filem, Garin duduk di atas pentas. Ada hadirin bertanya: “Macam mana tuan terus berharap bila sistem belum berubah?” Dia balik soal: “Kalau kita berhenti harapan, siapa lagi yang akan ketuk rantang?” Aku teringat kembali ada satu imej pembuka dalam sebauh filem, burung gagak di jeruji. Ia tetap mengepak, walaupun sayapnya luka. Begitu juga filem ini, luka, tapi terus berkumandang.

680 panggung roadshow, 1,7 juta tontonan, dan kini KPK jadikan ia modul wajib calon hakim. Aku kira, ini bukan kemenangan, ini janji: rantang masih kosong, menanti kita isi dengan harapan yang tidak lagi sunyi. Esok, kalau aku ke pasar basah dan dengar dentum besi, aku akan tahu ia bukan tanda makanan, tetapi gema perjuangan yang belum selesai.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular