Revisiting Cinema : True Romance (Prolog)

Menyelam kembali filem filem awal yang banyak memberi inspirasi kat aku adalah macam menelan pil merah atau pil biru yang merujuk pada pilihan antara kesediaan untuk belajar menerima kebenaran yang berpotensi mengubah hidup dengan mengambil pil merah atau tetap dalam kebodohan dan kelembanan yang menebal akibat kejahilan dengan menelan pil biru.


hidup adalah pilihan untuk menjadi lebih baik atau lebih buruk maka aku memilih untuk menelan pil merah untuk aku terus menerima pengetahuan yang aku bukan bijaksana dalam dunia yang singkat ini untuk aku menerima sesuatu yang baru dan yang baik dan mampu mengubah cara aku berfikir terhadap kehidupan.

Setelah membuat keputsan itu, maka aku telah memilih untuk menyenaraikan kesemua filem yang ditulis oleh Quentin Tarantino dan menonton satu persatu filem yang ditulisnya mahu filem yang diarahkan beliau. Iya mengenali Quentin seawal tamat persekolahan di temasik melalui filem Natural Born Killer pada waktu itu belum membuat aku begitu kenal siapa Quentin. Mukadimah ini tidak akan diceritakan hari ini.

Save the best later.


Aku sememangnya telah didedahkan dengan filem eksploitasi dari pelbagai pengarah yang aku tidak kenali sejak aku mengenali sinema mandiri di Pekan Ulu Tiram. Sinema yang menjadi perhentian aku sebelum ke sekolah agama menjadi rutin buat beberapa ketika sehingga untuk pertama kalinya aku teruja menonton sinema sewaktu di Pulau Pinang. Filem Die Hard (88) lakonan aktor Moonlighting itu juga menjadi siri episod kegemaran aku.

Menonton Die Hard bersama Abang Ali, adik ipar bapak angkat aku seorang renjer hutan di Kebun Bunga yang juga guru agama aku bernama Nordin atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Din atau Pak Chaq dikalangan keluarga di Teluk Bahang. Pak Din ni kawan baik kepada Pak Long aku yang juga seorang Renjer. Pernah sekali tu aku mengikuti mereka masuk kedalam hutan Kebun Bunga itu bagi menghapuskan Kera, dibekalkan dengan sebilah parang panjang, Pak Long aku hanya beritahu kalau kera itu menyerang, aku libaskan je dengan parang panjang itu.

Iya, aku diserang dan aku melibas dan libasan aku menyebabkan kematian seekor kera yang ganas itu putus kepalanya. Aku kaget kerana dibasahi darah merah pekat dan aku demam seminggu, waktu itulah aku dijaga Pak Din yang merawat aku zahir dan batin. Alhamdulillah semangat aku kembali seperti kanak kanak lain. Malahan semakin berani hingga kini.

Pengalaman menonton Die Hard menambahkan lagi keterujaan aku terhadap sinema dan sewaktu aku meningkat dewasa, aku sudah mula memilih filem bagaimana yang aku mahu tonton dan sinema di Ulu Tiram itu semakin teruk hidangan filemnya, rupanya aku baru sedar yang filem yang dihidangkan sebelum maghrib adalah filem yang sesuai di tonton semua peringkat manakala selepas terbenamnya mentari, sinema itu menhidangkan filem filem separuh bogel atau sepenuhnya bogel untuk tontonan pasangan kekasih mahu pun anak anak remaja yang baru mengenal erti mempunyai nafsu.

Aku terasa bagai seorang pendatang. Terasing kerana aku mahukan filem yang penuh aksi, filem yang ada letupan, darah dan aksi tumbukan. Bukan filem yang penuh aksi atas ranjang atau di atas sofa. Buat suatu ketika aku rasa sinema adalah satu penipuan.

Bergerak ke tahun belakang sedikit, menyedari minat aku terhadap sinema, kakak aku telah mengenalkan aku dengan beberapa sinema yang lebih baik di Bandar Johor Baru. Iya aku mula mengenali sinema Cathay, Rex, Capitol dan Nira. Dia menjadikan aku sebagai alasan untuk ke bandar JB untuk bertemu kawan-kawan beliau, kakak aku akan bawa aku menonton wayang sebelum makan-makan dan shopping perihal perempuan. Dia tahu keterujaan aku menonton wayang namun filem pilihannya sangat perempuan dan seingat aku filem terakhir aku menonton dengan kakak aku adalah filem Suara Kekasih (86) arahan Ida Farida. Oh! aku sangat lemah menonton filem begini.

Ada beberapa filem sinema melayu lain yang pada awalnya aku tidak berapa faham, yalah masih lagi budak budak, seperti filem Mekanik (83), aku rasakan pada waktu itu ianya filem lawak dan kemudian menonton filem berat Matinya Seorang Patriot (84) yang aku rasakan dialognya macam menonton lakonan pentas namun kini aku rasakan filem beginilah yang sepatutnya menjadi inspirasi dan rujukan pembikin filem. Adakalanya menonton filem arahan Pak Aziz Satar seperti Da Di Du (81), Darah Satria (83), Tujuh Biang Keladi (84) menambah rasa bahawa sinema adalah dunia yang indah.

Setelah mengetahui selok belok kembara dan jalan di sekitar JB itu, aku mula berani sendiri menonton wayang di JB. Pilihan sangat banyak dan filem filem dari Jackie Chan adalah pilihan utama. Ini semua berlaku sekitar pertengahan 80an. Ada yang aku masih ingat adalah filem Footloose (84), Aliens (86), Blob (88) dan beberapa lagi sehinggalah aku menonton filem yang mempunyai suara yang kuat dan mesej yang jelas terhadap apa yang berlaku pada dunia seni tanahair pada waktu itu.

Filem kembara seniman jalanan (86) adalah filem yang menjadikan aku bertambah suka menonton filem dan aku masukkan dalam senarai benda yang perlu aku capai. Walau filem tersebut tiada citarasa aku, tapi dia seperti melekat dalam fikiran dan terngiang di telinga segala apa yang dihidang. Terutama ianya disebabkan aku sememangnya meminati M.Nasir dan kumpulan Kembara. Aku masih iingat sewaktu bersekolah di Temasik, di interchange woodlans aku akan selalu terserempak dengan Kembara dan aku jadikan filem ini sebagai modul kajian kes yang perlu dipenuhi pelajar sewaktu aku menjadi pensyarah kana di sebuah universiti swasta. Ia juga adalah tajuk bagi laman blog aku. Kesan filem ini terhadap aku.

Kemudiannya filem Bayangan Maut (91) arahan Datuk Yusof Haslam dan seterusnya filem bertajuk Pemburu Bayang (93). Dua filem melayu ini menambahkan kesan suka aku terhadap sinema melayu ketika itu. Namun filem filem yang berikutnya dari pengarah ini mengecewakan sehingga sekarang. namun aku respek bagaimana DYH mengubah lanskap sinema melayu waktu itu.
Era 90an aku sudah masuk alam remaja, pemikiran dan pengamatan aku terhadap filem sedikit sebanyak terganggu dek kerana hidangan hidangan yang lebih menarik perhatian aku di luar sana, sinema melayu pada waktu itu sangat menyedihkan, namun pada tahun 92, media banyak membicarakan tentang sebuah filem yang penuh kontroversi dari seorang Pengarah yang hebat cara berfikirnya dan penceritaannya.

Aku terdedah dengan dua media perdana dalam negara dan luar negara iaitu Temasik. Maklumat filem terkini selalu didapati dari Temasik atau dari Pusat Video Surabaya. Cik Arab ni adalah kutubkhanah filem bagi aku. Cik Arab telah mencadangkan untuk aku menonton sebuah filem bertajuk Reservoir Dogs (92), dan dia telah menceritakan secara mendalam tentang filem itu tanpa memberitahu spoiler. Ia filem dari Quentin ini menguatkan cita-cita aku dan aku terus jatuh cinta dengan penulis dan pengarah ini.

Namun tahun berikutnya, dalam sinema melayu juga berlaku sesuatu yang sangat drastik apabila filem yang penuh kontroversi bertajuk Perempuan, Isteri dan Jalang ditayangkan dengan tajuk baru iaitu Perempuan, Isteri dan...? (93) arahan Uwei Hj Saari.

Menonton filem ini menambah satu lagi senarai cita-cita aku. Keterujaan aku terhadap perubahan yang dibawa dalam sinema melayu oleh Uwei adalah titik tolak yang mana aku menyatakan bahawa industri sinema melayu akan berubah lanskapnya.

Era 90an itu, aku mengenali beberapa lagi pengarah pengarah hebat dalam sinema antarabangsa dan sinema melayu. Era 90an adalah era dimana sinema melayu mempunyai beberapa pengarah hebat yang mempunyai visi dan misi untuk mengubah lanskap sinema melayu. Aku sentiasa teruja untuk menonton di sinema sekiranya ada filem dari senarai pengarah yang aku suka ditayangkan. Aku juga akan selalu melepak di Pusat Video Surabaya yang kedudukannya berhadapan dengan Panggung Ulu Tiram itu.
Melalui Cik Arab banyak maklumat tentang dunia sinema aku hadamkan selain aku suka melepak di Kedai kedai berdekatan seperti kedai Cendol Ali, Kedai Makan Juju, beli pakaian bundel di Kedai Pak Ya, dan melihat abang abang dan pakcik pakcik teksi berurusan menghantar pelanggan yang kebanyakkannya datang dari seberang sambil mendengar lagu dangdut berkumandang.

Senario itu sangat kuat bermain dalam fikiran aku namun minat aku terhadap sinema selalu aku simpan dalam dalam kerana aku hanya akan bicara tentang sinema bersama Cik Arab, dengan orang lain di sekitar pekan Ulu Tiram itu, aku berkawan baik Kasim anak kepada Juju yang mana kedai makannya menjadi tempat aku menjamu selera selain restoran haji di bukit dan muhammad ali yang mempunyai Jukebox memainkan lagu sekiranya disuapkan dengan duit 50 sen. Ada beberapa sahabat lain yang suka menonton namun tak beberapa deep, kalau sembang filem selalunya lebih kepada luaran.

Minat itu masih menebal walau aku membuat keputusan untuk ikut satu pelayaran kapal minyak dari Penggerang ke seluruh Asia sebagai buruh kasar. Kehilangan sebuah dunia yang aku suka, yang hanya hidup dalam sebuah layar lebar dalam sebuah bilik gelap yang punya pelbagai rasa namun cita-cita aku tidak pernah sekali aku padam kerana aku tahu cepat atau lambat jalan yang aku pilih pasti akan mendewasakan aku.

Terima kasih pengembaraan pengalaman.

Terima Kasih Allah kerana mempermudahkan segalanya selepas itu. Alhamdulillah.

Ulasan

Catatan Popular