REVISITING CINEMA #37 : Keluang Man (25)

Dalam dunia filem tempatan yang sering dipenuhi dengan cerita yang biasa-biasa sahaja, Keluang Man muncul sebagai naskhah yang sepatutnya membawa kembali ikon adiwira tempatan dengan pendekatan moden. Pengarah Anwari Ashraf membawa nostalgia, emosi, dan nilai budaya Malaysia ke layar perak, tetapi filem ini lebih terasa seperti sebuah produksi televisyen berbanding sebuah filem sinematik yang benar-benar punya jiwa dan estetika layar lebar.


Kisah ini mengikuti perjalanan Borhan, seorang pesakit psikiatrik yang berubah menjadi Keluang Man. Di sini, Nas-T membawakan watak Borhan dengan emosi yang mendalam, tetapi sayangnya, watak ini gagal mendapat ‘depth’ yang sepatutnya. Filem ini sepatutnya menjadi medan untuk mengupas watak Borhan dengan lebih matang, tetapi ia hanya menampilkan kisah yang sekadar berlaku, tanpa usaha untuk menyelami konflik dan perjalanan emosinya secara lebih mendalam.

Sebagai seorang pahlawan yang berjuang untuk keadilan, Borhan menghadapi pertempuran fizikal dan emosi yang mengharukan. Nas-T dengan sangat baik membawa watak ini dengan semua nuansa emosi yang diperlukan, daripada putus asa kepada keazaman. Kita saksikan perasaan melampaunya di saat-saat dia berasa bersalah kerana merasakan dia telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain. Walau bagaimanapun, tidak ada keraguan bahawa keinginan Borhan untuk mencari kebenaran dan keadilan tiada tandingannya. Inilah intipati perjalanan watak ini, dan Nas-T mampu memainkannya dengan tekanan dan adrenalin yang hebat.

Bila kau ubah origin story, dan diberikan kebebasan untuk mencorak semula watak Borhan, kenapa filem ini tidak menggunakan peluang itu untuk mencipta perjalanan transformasi yang lebih berkesan? Perubahan besar yang dilakukan ke atas latar belakang Borhan sepatutnya memberi ruang untuk penerokaan psikologi yang lebih bermakna, tetapi kita hanya disajikan dengan perkembangan cerita yang tergesa-gesa dan tidak cukup mendalam.

Keluang Man tidak memerlukan unsur lain untuk menjadi kuat, jenama dan auranya sudah cukup untuk berdiri sendiri. Tapi filem ini dipenuhi dengan terlalu banyak elemen tambahan yang tidak relevan, sehingga menenggelamkan intipati sebenar yang sepatutnya ditekankan.

Ada terlalu banyak selingan yang tidak perlu, babak karok yang terasa tidak kena, CGI kucing yang kelihatan sekadar untuk ‘cukup syarat’ tanpa penyampaian yang berkesan, serta product placement yang keterlaluan hingga mencabut keaslian penceritaan. Malah, ada terlalu banyak momen yang terasa seperti ‘gimik’ semata-mata tanpa keperluan naratif yang kukuh. Filem ini tidak berusaha untuk menjadi sebuah naskhah adiwira yang lebih serius dan berwibawa, sebaliknya hanya kelihatan seperti eksperimen sinema yang tidak jelas hala tujunya.


Plot twist terasa kurang impak. Punchline banyak tapi tidak sampai dan tidak menjadi. Extra/pelakon tambahan terasa seperti kru filem yang hanya dimasukkan sahaja. Terlalu ramai cameo jadi hilang exclusive, macam kita rasa "kena timing dengan jadual ni, ko masuk jap je untuk cameo". Mengharapkan lagu tema Keluang Man akan jadi lagu yang disusun pelbagai genre mengikut babak yang sesuai, tapi tidak.

Secara peribadi, filem ini tidak punya direction yang betul dan tiada misi dan visi yang jelas. Terasa seperti filem ini dibuat untuk suka-suka je, dapat duit dan boleh enjoy. Bom meletup tapi tingkap x pecah, terasa seperti bikin filem ni untuk suka-suka je. Kerja kamera pun nampak macam banyak main untuk sebuah filem yang punya estetika penceritaan seorang adiwira yang gila, sebab tu kerja kamera pun macam orang gila.

Selepas menonton filem ini beberapa kali, aku boleh katakan dengan selamba, ini bukan standard filem sinematik, ini lebih kepada standard drama televisyen. Segala aspek sinematografi, suntingan, dan penceritaan lebih menyerupai produksi televisyen berbanding filem yang layak duduk di panggung sebagai karya sinema sebenar.

Sebagai seseorang yang membesar dengan Keluang Man, aku cukup kecewa dengan bagaimana filem ini disusun. Keluang Man boleh berdiri sendiri, dia tidak perlu bergantung kepada elemen luar atau nostalgia murahan untuk menjadi hebat. Aku mengharapkan Keluang Man menjadi lebih daripada sekadar produk hiburan yang dibuat dengan tujuan suka-suka.

Francais ini mungkin boleh berkembang di masa hadapan, tetapi sebelum itu, penghormatan kepada bahan asal perlu diutamakan. Sebuah filem adiwira yang berjaya bukan sekadar aksi dan lawak sumbing, ia mesti punya hati dan jiwa.

Tapi nampaknya, itu tidak berlaku dalam Keluang Man.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular