REVISITING CINEMA KHAS : BENDASING (25)

Nota Kaki Terakhir Mamat Khalid. Antara Alien, Dakwah, dan Rindu pada Seorang Guru

Bendasing bukan filem biasa. Ia warisan separuh siap seorang legenda, diwarisi oleh anaknya yang cuba menjawab soalan terakhir: Bolehkah kita bercerita tentang keterasingan… tanpa kehilangan jiwa sendiri?



Aku menonton Bendasing dengan rasa yang sukar digambarkan, bukan harapan tinggi, bukan skeptisisme, tapi rindu. Rindu pada suara Mamat Khalid yang tak lagi ada. Dan kali ini, suara itu diwarisi oleh Amen Khalid: anak yang pertama kali mengarah, meneruskan skrip terakhir ayahnya yang meninggal dunia pada 2021, namun di akhir kredit, ini adalah filem terakhir arahan Abang Mamat Khalid.

Dari minit pertama, aku rasa vibe indie tahun 90-an, projek DVD, kamera gerila, lokasi terhad, bajet ketat. Tapi justru di situlah kejujurannya. Amen tak cuba tiru warna-warni Kampung Pisang. Sebaliknya, dia pilih palet lusuh, kontras sejuk, darah kering, ada sedikit feel thriller horor, jauh dari komedi slapstick. CGI-nya memang bajet, alien berkostum logam nipis, zombi bergelimpangan macam manekin kedai. Tapi kalau kau faham estetik “gerila sci-fi” ala Estet bertemu Zombi Kampung Pisang, kau tahu ini bukan kegagalan, ini pilihan estetik.

Plotnya ringkas, virus asing jangkiti manusia, jadikan mereka zombi. Tapi alien sebenar? Mereka datang bukan untuk menakluk, tapi “membersihkan” Bumi. Hanya yang tidak dijangkiti diburu. Di sinilah Mamat (dan mungkin Amen) letak sindiran sosial paling tajam: dua darjat, yang sakit dan yang sihat, tapi kedua-duanya sama-sama tidak mahu terima “yang asing”. Ironinya? Dalam dunia ini, semua orang rasa asing. Termasuk kita.

“Aku rasa kita memang bendasing di bumi sendiri.”Satu dialog pendek, tapi cukup untuk buat aku terdiam.

Namun, filem ini terasa seperti sketsa yang belum siap disambung. Banyak potongan tergantung. Jokes kadang flat. Ritma goyah. Rasanya dikejar masa, mungkin kerana tekanan emosi, mungkin kerana keinginan Amen menyiapkan impian terakhir ayahnya sebelum terlalu lewat.

Tapi di tengah kekangan itu, ada cahaya.

Rosyam Nor dan Wan Raja muncul sebagai anggota “pengkalan tentera lapuk”. Rosyam tak banyak babak, tak banyak dialog, tapi setiap pandangan mereka penuh graviti. Mereka bukan hero, tapi penghubung. Antara realiti dan mitos. Antara manusia dan Tok Wali. Dan Rosyam? Dia cuba lawan alien seorang diri, bukan kerana berani, tapi kerana tiada pilihan lain. Perang akhir dalam filem ini bukan perang dengan permulaan. Ia perang yang sudah lama berlaku, dalam diam, dalam takut, dalam ego kolektif.

Lalu, muncul Kuda.

Dia diperkenalkan dengan kepala dipijak, secara literal. Tapi dari posisi paling rendah itu, dia bangkit. Bukan sebagai pejuang, tapi sebagai pendakwah. Persona Kuda memberi nafas spiritual yang jarang dalam filem Abang Mamat, dakwah yang ringan, tapi menusuk.

“Kau orang ingat kerja dakwah ni hanya perlu keluar dan mengajak orang pergi ke masjid untuk soal jemaah? Kalau korang rasa begitu, sah korang tak faham maksud dakwah.”Momen paling menyentuh: apabila Kuda dan Wan Raja dibuang dari sarang perlindungan, dipaksa keluar demi “keselamatan bersama”. Di situ, filem tunjukkan sifat paling jujur manusia, egoisme yang menyamar sebagai pengorbanan. Kuda takut dan Wan Raja, Dia redha. Bersama Wan Raja, dia akan mula kembara ke Slim River, dengan bekal yang sedikit.

Bekal apa yang dimaksudkan?
Bukan makanan. Bukan senjata. Tapi harapan, dan keyakinan bahawa hidup ini masih layak diteruskan, walaupun dunia sudah gila, dan pesan terakhirnya,

“Semoga mendapat apa yang dicarikan.”
Apa yang dicari? Mungkin jawapan. Mungkin perdamaian. Atau mungkin cuma tempat untuk mati dengan maruah, dan waktu ini Wan Raja buat tindakan drastik menyerbu masuk ke bilik Tok Wali.

Lalu, muncul Tok Wali, dilakonkan oleh Bang Mamat Khalid sendiri (melalui rakaman atau khayalan? Aku tak pasti).

Dia tak datang dalam aksi. Tapi dalam temuramah, seakan dokumentari purba. Di situ, dia berdebat tentang virus:

“Siapa paling kuat, dia akan berkuasa dan mengawal kudrat. Ini semua untuk menghalang kemajuan manusia.”Dialog ini bukan monolog, ia debat falsafah antara sains ganas dan iman tenang. Dan di tengah-tengah itu, Tok Wali selitkan lawak yang menusuk:

“Darwinism meets Thanosisme.”Satu baris yang cukup untuk buat penonton gelak—, ebelum terdiam semula.

Lalu, dia tutup dengan ayat yang tenang tapi tegas,

“Sains tanpa agama, ibarat bumi tanpa matahari.”Tapi seperti biasa, ego tak pernah puas. Lawannya tetap mahu menang. Tetap mahu menegakkan “benang basah”.

Dan di akhir babak Tok Wali, filem petik syair Laksamana Hang Tuah,

“Tersebut kisah, seorang Laksamana…”Ko rasa itu homage filem apa? Adakah ia merujuk Hang Tuah (1956)? Atau Puteri Gunung Ledang (2004), di mana Abang Mamat sendiri pernah terlibat? Atau mungkin ia homage kepada tradisi lisan, bahawa kata-kata mampu jadi senjata terakhir apabila segalanya runtuh?

Tapi soalan yang lebih penting: adakah Tok Wali membaca… atau melihat?

Aku rasa terubat rindu. Rindu pada seorang guru yang dulu banyak mengajar aku apa itu survive dalam pembikinan filem, bukan survive dari bajet, tapi dari putus asa.

Aku masih ingat pertama kali bertemu Abang Mamat. Dia sedang membaca buku di sudut sunyi. Aku tak ganggu. Aku cari satu buku, duduk bersebelahan, dan mula membaca. Lama kami diam. Sehingga dia buka bicara,

“Kau pilih buku apa?”Itu tahun aku menulis skrip Jipang, tahun 2010. Rupanya, dia dah baca. Dan dengan tenang, dia kata,

“Kau kena buat pilihan.”Bukan antara komersial atau seni, tapi antara bercakap untuk orang lain, atau bercakap dari dalam diri sendiri. filem ini aku siapkan pada thaun 2012, namun penerbitnya hilang dengan semua rushes filem ini, aku doakan dia selamat dimamah bumi.

Hari ini, melihat Bendasing, aku rasa Amen sedang menjawab soalan itu, dengan cara dia sendiri.

Kerana nasib pembikin filem? Hanya Tuhan yang tahu.

Bendasing ialah “nota kaki” terakhir Mamat Khalid, tidak sempurna, tapi cukup jujur menjerit,

“Aku masih hidup. Aku masih heran dengan dunia dan manusia yang menghuninya.”Kalau kau rindu lawak kelas-ketiga yang tiba-tiba menghempas falsafah hidup tanpa amaran, ini tiket wajib. Tapi kalau kau cari World War Z ala Malaysia… turunkan paras harapan kau ke 40%.

Sehingga filem ini benar-benar muncul di panggung atau streaming, kita semua, termasuk aku, masih “bendasing”: menunggu, memerhati, dan berharap.

Aku tiada masalah menonton apa jenis filem, selagi ia ada cerita untuk aku baca.


Salut, Abang Mamat.

Legasimu bukan dalam kesempurnaan, tapi dalam keberanian untuk terus bercerita, walaupun sebagai bendasing.

#revisitingcinema #senimanjalanan



Ulasan

Catatan Popular