REVISITING CINEMA #27 : TWILIGHT OF THE WARRIOR: WALLED IN (24)

Setelah sekian lama, menjadi antara kesukaan aku menonton adalah filem aksi Hong Kong yang bertunjangkan dunia gelap Hong Kong itu sendiri dan menambah perisa adalah aktor kesukaan aku membbuat kemunculan iya Aaron Kwok ada dalam filem ini walau kemunculannya sekejap sahaja tapi dapatlah iya mengubati rindu aku terhadap lakonan beliau.Ditambah pula dengan sentuhan Soi Cheang sebagai sutradara filem ini, antara filem beliau yang aku suka adalah Mad Fate dan Limbo yang mana kesukaan beliau menzahirkan visual dalam nuansa neo-noir juga menambah minat aku untuk mencari filem ini. Akhirnya aku terpaksa menyewa di YouTube dengan bantuan VPN kerana filem ini tidak dapat ditonton dari ruang maya Malaysia, apa punya turr lah MCMC ni.


Dalam dunia sinema yang sering dibanjiri dengan naratif klise dan formula yang boleh dijangka, "Twilight of the Warriors: Walled In" muncul sebagai sebuah filem yang membawa elemen aksi mendebarkan disertai dengan penceritaan yang penuh dengan konflik emosi dan moral. Melihat dari persekitara dunia filem ini yang penuh dengan kesempitan dan kepadatan ruang dunianya, manusia yang hidup dalam dunia ini pula seperti hidup tanpa arah tujuan dan hanya bergantung nasib dengan perniagaan dalam komuniti yang terasing dari dunia sebenar yang penuh dengan tipu-daya, manusia dalam Kowloon Walled City hidup tenang, aman dan bahagia walau digambarkan seperti tikus tikus dalam ruang sempit yang busuk dan kotor.

Cerita ini berkisar tentang seorang imigran tanpa dokumen bernama Chan Lok-kwun yang berakhir di Kowloon Walled City, sebuah penempatan yang dikenali dengan kegiatan kriminal di bawah tanah. Dengan latar belakang yang gelap, matlamat Lok-kwun adalah untuk mendapatkan kad pengenalan diri untuk dia hidup seperti rakyat biasa, sementara dia berusaha untuk mengatasi trauma masa lalu dan mencari jati diri di tengah kekacauan hidup yang tiada hala tujuan. Dia berjuang untuk melindungi orang tersayang seperti Cyclone dan sahabat-sahabatnya yang baru dikenali di Walled City dari bahaya.

Motivasi utama Lok-kwun adalah untuk terus hidup dengan bahagia bersama orang yang disayanginya. Namun, dia perlu menghadapi Mr. Big dan orang kanannya King, yang menipu beliau dan mengejarnya hanya kerana mahu beliau tunduk terhadap kehendak mereka, serta Dik Chau, yang berdendam dengan bapanya, Jim, dan berikrar untuk membunuh semua keturunan Jim.


Elemen neo-noir dalam filem ini disulam dengan misteri dan kung-fu, menjadikannya sebuah karya yang menggabungkan estetika visual gelap dengan aksi fizikal yang intens. Dengan struktur penceritaan yang kompleks, "Twilight of the Warriors: Walled In" berjaya menampilkan naratif yang penuh dengan liku-liku dan konflik dalaman yang menyentuh.

Dunia filem ini adalah "The Quest" dan disulamkan "Overcoming the Monster." Lok-kwun bukan sahaja berjuang untuk mencapai matlamatnya tetapi juga menghadapi "monster" nyata seperti Mr. Big dan King, serta "monster" dalaman seperti konflik moral dan trauma masa lalu. Gabungan ini menambah dimensi mendalam kepada perjalanan watak utama.

“Twilight of the Warriors: Walled In” adalah sebuah filem aksi yang bukan sahaja menyajikan adegan-adegan pertarungan yang mendebarkan, tetapi juga menyelam ke dalam tema persahabatan, dendam, dan penemuan jati diri. Dengan sub-plot yang disulam baik, termasuk persahabatan antara Lok-kwun, AV, Twelve Master, dan Shin, filem ini menonjolkan perjuangan mereka demi penduduk Walled City.

Filem ini mengingatkan kita bahawa dendam bukanlah jalan penyelesaian kepada semua masalah, satu mesej yang kuat dan relevan dalam konteks dunia yang penuh dengan konflik. Dengan arahan yang mantap dan lakonan yang memukau, "Twilight of the Warriors: Walled In" adalah salah satu filem aksi terbaik tahun ini, menepati jangkaan dari segi aksi dan mendalam dari segi penceritaan.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular