REVISITING CINEMA #19 : TETRIS (23)

Tetris" seperti yang diduga, ianya kisah permainan komputer yang menyeronokkan zaman kanak-kanak beberapa tahun pada penghujung 1990-an yang menjadi trend dari batu jemala seorang jurutera komputer Rusia ke tangan kami yang memainkannya di Gameboy, oh! tidak disini kami main diatas jenama Tetris itu sendiri, mungkin dicetak rompak dan dibeli di pasar malam. Menonton filem ini, dengan jalan cerita yang menarik mengenai perjuangan hak pengedaran reka bentuknya, walau di sini kapitalis telah menciplaknya, dan kebanyakan pembangunan gadjet permainan ini berlaku di Kesatuan Soviet yang sedang haru-biru, jawapannya adalah ya, ia berkisarkan betapa rakusnya manusia mahu meniru dan memilik hak sebuah permainan yang menjadi trend semasa.


"Tetris" bermula seperti sebuah komedi Adam McKay "The Big Short", dipenuhi dengan penceritaan sinis dan menerangkan detik bermulanya idea, namun ianya kemudian menjadi variasi "Bridge of Spies" yang memikat dengan bunyi 8-bit dengan Taran Egerton ("Rocketman," dan filem "Kingsmen") sebagai persona Henk Rogers, yang matlamatnya adalah untuk mengatasi saingan pembesar media British Robert Maxwell (Roger Allam) sambil bersahabat dengan pakar komputer yang sederhana (Nikita Efremov) dalam mencipta permainan. Dilihat keseluruhan cerita ini adalah benar walaupun aku menjangkakan penjahat KGB lebih menarik perhatian dilakonkan oleh Igor Grabuzov sebenarnya fiksyen semata-mata.

Diarahkan oleh Jon S. Baird, filem "Tetris" ini membawa struktur dan arkitipe sebuah drama teka-teki dan ketegangan berbanding penceritaan sebuah filem biografi. Filem ini mengisahkan kehidupan Henk yang menemui permainan Tetris di sebuah konvensyen dan cuba mendapatkan perjanjian hak untuk permainan itu dengan cepat. Walau bagaimanapun, terdapat cabaran dalam usahanya apabila pihak lain juga berminat dalam permainan itu. Akhirnya, Rogers berjaya menjalin hubungan dengan Nintendo untuk mengusahakan permainan tersebut. Setiap syarikat mempunyai kepentingan dalam permainan tersebut, sama ada melalui arked, peranti mudah alih, konsol permainan atau komputer. Walaupun begitu, Rogers masih memerlukan persetujuan dari Kesatuan Soviet untuk mengedarkan di luar kawasan kawalan komunis.

Di sini, dilihat dari latar belakang penceritaan, terdapat perjuangan yang sama untuk menghasilkant wang daripada watak-watak, yang bersaing untuk mendapatkan imbalan yang lumayan. Bertopengkan penindasan komunisme dan rasuah dalam sistemnya, aku melihat ianya seperti perlumbaan politikus untuk memenangi undi, permainan yang pasti membawa pulang wang yang lumayan. Taron Egerton memegang watak Henk, seorang warga Amerika yang impulsif dan tegas, tetapi kali ini melakonkan watak yang lebih peribadi. Jika difikirkan dengan baik, peranan pencipta permainan itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa makna dalam plot erita tetapi dijadikan perdebatan di kalangan eksekutif dengan nada kebudak-budakan, mungkin untuk lebih diingati sejak awal dan 'Tetris' ini adalah anekdot panjang yang tidak menyakitkan, ia datang pada masa apabila kegilaan perayaan kapitalis dan korporat yang berada di kemuncaknya, mungkin selepas ini akan muncul kisah pencipta Chupa-Chups pula.

dan secara keseluruhannya, filem "Tetris" ini adalah sebuah cerita dalam dunia korporat dan mengambil tema persaingan kapitalisme dan komunisme. Biarpun filem ini dipetik daripada peristiwa 35 tahun lalu, namun kisah yang ditayangkan masih relevan untuk khalayak masa kini yang sering melihat betapa besarnya kuasa Rusia. Di mana-mana negara mungkin terdapat ejen KGB dan syarikat besar yang bergelut untuk mencapai kejayaan, menjadikannya sukar untuk menceritakan kisah yang sebenar. "Tetris" ialah sebuah filem thriller yang mendapat sambutan baik dan menerangkan secara terperinci siapa yang memiliki apa dan bila. Ia adalah jaringan tipu muslihat dan taktik perniagaan yang kompleks, dan walaupun pada akhirnya, Henk terpaksa memperjuangkannya dengan semua maruah yang dia ada, dia masih mempunyai pengakhiran yang bahagia di dalamnya. Filem ini berbaloi untuk ditonton bagi mereka yang mencari hiburan dalam genre thriller.

akhir kata, filem ini mencerminkan betapa seorang individu yang berpegang kepada prinsip percaya yang kejayaan adalah milik mereka yang melalui kegagalan, dan jadilah individu yang memberi inspirasi tanpa prejudis kerana ada inspirasi yang menghancurkan harapan dari mereka yang sebenarnya toksik tanpa disedari namun merasa diri adalah penawar bagi orang sekelilingnya.

Salut!

#revisitingcinema
#senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular