REVISITING CINEMA #52 : GELORA (70)

RUMAH BESAR, JIWA SESAK
Aku rasa dan ingat bila aku menonton filem ni, pertama kali sewaktu aku berusia 12 tahun, tidak aku rasa apa pun waktu tu, namun entah kenapa aku nak tonton filem ni baru-baru ini selepas melihat satu  ulasan di YouTube cakap ini filem paling berani P. Ramlee. Bukan di panggung, tapi di skrin laptop aku. Aku kenal nama filem ni, aku tahu dia klasik, tapi aku selalu lupa yang klasik tu bukan sekadar nama dalam buku teks. Dia adalah darah yang mengalir dalam urat sinema kita. Dan malam tu, aku rasa darah tu mengalir balik.

Sebelum mula perkongsian, aku rasa pembikin filem Malaysia zaman ini tak kira yang muda, atau pakar sebenarnya tidak kreatif dan inovatif, memetik kata CEO Fanis yang membuat kenyataan bahawa filem kategori 16pl dan 18pg tidak akan dipotong untuk memberi kesan dan fahaman emosi kepada penonton, tapi bukan isu klasifikasi yang aku nak sentuh, tapi kreativiti seorang pengarah, dalam filem ini ada adegan membuka butang kutang, adakah dengan merakam dan mengarahkan babak itu filem ini berani?

Aku pernah menonton sebuah filem arahan M. Amin, dimana babak pembukanya sangat erotik, tapi pengarah tidaklah sampai nak tunjuk adegan atas katil macam dalam filem khadam tu, tapi pengarah bermain dengan visual, dimana dua kekasih berlari ke sebuah sampan, dan mula mendayung dan kahirnya sampan itu terdampar di tepi dan pasangan tadi berjalan berpelukan, satu lagi, adalah filem yang dilakunkan oleh Uji Rashid, didalam bilik, Uji meminta segelas air dari seorang lelaki dan lelaki itu kata tak cukup segelas, nak segelas lagi. Ini kreativiti, bukan buat visual cerita dengan mudah, ambil konsep tunjuk bukan beritahu, maka tunjuk jelas jelah babak itu.


Sambung, aku tonton filem seorang diri. Awek aku dah tidur. Aku letak earphone, volume perlahan sesedap rasa, sebab aku taknak ganggu sunyi rumah. Tapi sunyi tu yang buat aku tak selesa. Sebab Gelora, walaupun hitam putih, bising dengan bisikan. Bisikan hati watak-watak yang tak pernah didengari.

Filem ni cerita pasal rumah tangga. Bukan rumah tangga yang kelakar atau manis. Ini rumah tangga yang retak. Lelaki dan perempuan, duduk dalam ruang yang besar, tapi jarak antara mereka macam lautan, pasangan tu bertengkar. Bukan dengan suara kuat, tapi dengan jarak. Badan mereka menghadap berlainan arah. Seorang di sofa, seorang di kerusi. Ruang yang sama, tapi dua dunia.

Ini bukan cerita hantu. Ini cerita kita. Kita yang duduk sebelah-menyebelah di sofa, tapi masing-masing tengok skrin telefon. Kita yang tidur satu katil, tapi mimpi berlainan dengan rentak dan nada berbeza.

Aku suka bila filem ni tak cuba jadi cantik. Visual dia sengaja jarakkan watak-watak. Kamera tak rapat untuk kasih sayang. Kamera menjauh, untuk tunjukkan betapa sunyinya hidup golongan pertengahan. Ada satu scene, kereta yang sesak, penuh dengan orang, tapi muka pemandu kosong. Kereta tu bukan pelarian. Kereta tu adalah beban fikiran yang bergerak. Aku pause. Aku tengok lama-lama. Sebab aku pernah rasa macam tu. Drive balik kerja, jam 8 malam, jalan kosong, tapi kepala penuh, penuh bukan sebab beban kerja, sebab baru lepas balut, layan masyurrrr. Kau ada kereta, kau ada rumah, tapi kau takde jalan keluar, jadi jalan kelaur adalah dengan balut, hahahaha.

Dan ada scene di mana watak perempuan berjalan ke arah taman. Dari luar, nampak macam dia bebas. Tapi aku nampak sangkar. Kaca. Tumbuhan yang cantik tapi terkurung. Aku rasa betul bila filem Gelora ni bukan cerita pasal seorang perempuan. Gelora ni cerita pasal semua perempuan yang kita kenal, aku hanya kenal 7 orang wanita je dalam hidup aku, yang rapat dengan aku. Yang duduk dalam rumah cantik, tapi hati macam penjara.

Tapi yang sebenarnya, filem ni ada masalah. Suntingan dia mendatar. Macam jalan raya yang baru tar, licin, tapi takde liku. Scene bercakap, scene bercakap, scene bercakap. Dialog kuat, intonasi tinggi, tapi subteks yillek. Aku rasa macam orang tengah beri ceramah, bukan orang sedang tengok filem, kalau dia gunakan L-cut atau J-cut, dan biar bunyi masuk sebelum gambar, atau gambar tinggal selepas bunyi habis, baru rasa tak selesa tu hadir. Baru kita rasa retakan rumah tangga tu.

Dan bunyi? Aku rasa sound design dia terlalu literal. Bunyi kereta, bunyi pintu, bunyi tapak kaki. Semua ada, tapi semua kosong. Macam orang yang cakap banyak tapi takde isi. Score dia pula, dia beritahu kau "sedih ni," "tension ni," "happy ni." Aku tak suka bila muzik diktasi emosi. Aku nak aku yang rasa. Bukan aku yang disuruh rasa.

Aku cuba bandingkan dengan Antonioni, cuba buat perbandingan dan silang rujuk visual cerita. Aku setuju. Antonioni biar kamera berdiri lama. Biar kau rasa bosan. Biar kau rasa ennui(sebutan: on-wi) berasal daripada bahasa Perancis. Gelora? Agaknya P. Ramlee takut bosan. Dia cepatkan. Dia letak plot melodrama. Padahal, kadang-kadang bosan tu adalah emosi yang paling jujur untuk keterasingan.

Aku teringat seorang pakcik ni di Bukit. Bukan sebab dia macam watak dalam Gelora. Tapi sebab aku pernah tengok dia duduk sorang-sorang di dalam sebuah restoran, tengok TV tapi mata dia jauh. Aku tanya apa dia tengok. Dia cakap "takde apa." Tapi aku tahu ada apa. Ada gelora dalam hati dia. Ada ribut yang tak boleh dijerit. Ada ruang besar antara dia dan dunia.

Filem ni, walaupun hitam putih, walaupun lapuk untuk telinga moden, tapi mesej dia tak lapuk. Modenisasi kita sekarang lagi teruk. Dulu, keterasingan domestik nampak dalam jarak fizikal. Sekarang, keterasingan tu nampak dalam satu rumah yang semua orang ada WiFi. dan itu Gelora sebenarnya, bukan keretakan rumah tangga biasa, P. Ramlee katanya ada ilmu firasat, dan dia telah memfirasatkan sinema moden dengan Gelora ini, di mana pembikin filem akan jadi jumud dan gagal dalam mereka visual cerita yang tidak menujuk-nunjuk kebodohan diri.


Aku rasa sinema Malaysia perlukan lebih orang yang baca semula filem lama dengan mata baru. Sebab kadang-kadang kita lupa, yang filem lama tu bukan sejarah. Dia adalah cermin yang kita takut tengok.
Gelora bukan filem yang mudah. Tapi aku rasa, kalau kau faham yang filem tak perlu beritahu kau apa yang sedih. Kau hanya perlu tunjuk. Walau bisu, walau hitam putih, walau lapuk, pasti akan ada yang faham.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular