REVISITING CINEMA #51 : TIKET SEHALA (26)

TIKET KE NERAKA, TIKET PULANG TAK ADA

Aku menonton filem ni pagi. Bukan sebab aku rajin, tapi sebab tiket pagi murah. Tokei panggung semakin meletak harga tiket melampau untuk buat duit, tapi pulangan untuk pembikin filem? Tak seberapa. Yang pelik, pembikin filem ni tak sedar ke ini penindasan terhadap kreativiti dan usaha mereka? Argh. Aku dah malas nak cakap pasal ni. Dapat tonton waktu pagi, first show, dah kira baik dah tu.

Panggung hampir kosong. Aku pilih kerusi tengah, barisan belakang. Filem macam ni perlu ruang untuk bernafas. Aku pergi dengan awek aku. Kami suka filem dan sinema, tapi kami tak ngaku kami cinephile. Kami cuma suka duduk dalam gelap dan biar skrin cerita pada kami. Kalau ada panggung rakyat, aku rasa kami akan jadikan tu rumah kedua.

Aku pilih Tiket Sehala bukan sebab aku suka thriller, aku sebenarnya ingat ini filem genre crime. Aku pilih sebab aku bosan tengok komedi slapstick, hantu kampung, atau cinta monyet yang tak pernah mati. Aku nak cerita yang bau peluh. Cerita yang aku boleh hadam struktur visual penceritaannya. Kalau takde visual yang kuat pun, struktur penceritaan sahaja pun dah cukup untuk aku bawa balik, bincang dengan awek, dan gaduh sebelum tidur. Dan Tiket Sehala? Ia bau macam peluh, darah, dan harapan yang hangus.


Filem ni cerita pasal tiga orang, Alif, Putri, dan Taqy. Mereka semua ada masalah. Masalah duit. Mereka pergi Korea Selatan dengan impian, cari rezeki, bantu keluarga, hidup lebih baik. Tapi mereka tak pernah bersyukur, terutama Alif. Dah dewasa, dah ada pengalaman, tapi tak bersyukur. Hidup ni keras. Kau ikut jalan yang salah, kau kena hadap. Bukan lari dengan harapan yang kononnya boleh selesaikan masalah. Sebab harapan pada jalan salah, bukan penyelesaian. Ia tambah masalah. Itu hujah peribadi aku terhadap struktur penceritaan filem ini.

Sutradara tak mahu penonton rasa selesa. Dia tak mahu kau duduk tenang dan fikir "nasib baik bukan aku." Dia mahu kau rasa geli. Dia mahu kau rasa macam duduk sebelah Alif, dengar dia bernafas panik dalam bilik sejuk Korea. Dia mahu kau rasa macam Putri, yang setiap pagi bangun dan tanya bila boleh balik rumah. Dan Taqy? Taqy tu siapa? Taqy tu kau. Taqy tu sesiapa yang pernah percaya pada tawaran yang nampak terlalu baik untuk ditolak.

Tapi ada masalah. Filem ni banyak memberitahu, tapi kurang menunjuk. Pati yang diguna untuk menyampaikan visual penceritaan tu, aku rasa datang dari keseronokan gaya visual penceritaan Korea. Aksi dan lagak yang dipaparkan sebagai resistance watak-watak tu, aku rasa tak perlu. Ini bukan filem aksi. Ianya drama. Dan archetype yang sutradara pilih? Aku tak dapat kesan. Aku syak dia ambil archetype tragedi, tapi macam archetype pencarian. Aku tak pasti. Hanya sutradara yang tahu.


Aku suka bila filem ni tak cuba jadi hero. Alif bukan superhero. Putri bukan wonder woman. Mereka tak ada plan hebat untuk pecah masuk dan bunuh semua orang jahat. Mereka cuma manusia. Manusia yang lapar, penat, dan takut. Dan dalam ketakutan tu, mereka buat pilihan. Kadang pilihan tu heroic, kadang pilihan tu hina. Tapi semua pilihan tu, manusia. Itu kekuatan paling besar filem ni, ia tak cuba cantikkan mangsa. Mangsa ni bukan malaikat. Mereka orang biasa yang tersesat, dan dalam kesesatan tu, mereka jumpa sesuatu yang lebih besar dari diri mereka, pengorbanan untuk orang lain.

Dan dalam pada itu, memberi kematian dalam struktur penceritaan adalah sesuatu yang manis. Cuma kena tahu bila dan di mana nak letak emosi tu. Yang aku rasa, tak sesuai. Takde UMPH. Macam kau nak menangis, tapi air mata tu tersangkut di kelopak, dan polis korea yang bersinggung bahu masa ALif baru sampai Korea depan hotel tu, persona dia macam tak perlu, hanya kau nak tunjuk Putri dan Tqay selamat, dia muncul konon sebagai penyelamat.

Tema kebebasan dalam filem ni bukan pasal lari dari penjara. Ia pasal lari dari harapan palsu. Bila kau dah takde apa-apa, barulah kau nampak apa yang sebenar. Dan apa yang sebenar tu, kadang-kadang lebih kejam dari penipuan. Sebab realiti bila kau balik ke rumah hujung bulan dari kerja dengan tangan kosong, dengan muka tak bermaya, dengan keluarga yang tak faham apa kau lalui, itu kebebasan yang pahit. Tiket sehala pergi, tapi tiket balik? Kau kena bayar dengan jiwa. Itu sangat baik. Dan kalau sutradara benar-benar faham kepentingan tema yang hendak dijunjung, aku pasti semuanya akan lebih baik.

Tapi aku taknak tipu kau. Filem ni ada masalah. Plot dia macam jalan kampung yang ada banyak lubang. Kau boleh lalu, tapi kau rasa gegar. Ada bahagian yang slow, terlalu slow, sampai aku rasa debaran tu hilang sekejap. Aku faham sutradara mahu kita rasa penat macam watak-watak tu, tapi penat dan bosan adalah dua benda berbeza. Penat tu emosi. Bosan tu kemalasan penceritaan. Dan sadly, ada beberapa scene yang aku rasa jatuh ke bosan.

Aku rasa juga, bila filem ni cuba gabungkan elemen thriller Korea dengan drama Malaysia, kadang-kadang dia tak tahu nak jadi yang mana. Dia macam anak yang cakap dua bahasa tapi tak fasih mana-mana. Scene di Korea, dengan salji dan bilik sejuk, memang ada vibe. Tapi bila balik ke Malaysia, aku rasa transisi tu tak cukup seamless. Macam dua filem yang dicantum, bukan satu filem yang bernafas sama.

Dan ending? Aku taknak spoiler. Tapi aku rasa ending ni macam makan nasi lemak tanpa sambal. Kau habiskan, kau kenyang, tapi kau rasa ada benda yang kurang. Aku rasa sutradara takut untuk terlalu kejam. Dia mahu kau keluar panggung dengan harapan. Tapi realiti job scam ni, harapan tu kadang-kadang tipu daya yang paling besar. Aku rasa kalau dia berani sedikit lagi, biar ending tu pahit, biar kau rasa macam kena tampar, baru mesej dia melekat. Tapi aku faham. Filem ni dah cukup berat. Nak letak ending yang lagi berat, mungkin penonton Malaysia tak tahan.

Aku teringat kawan aku. Call aku lepas PKP, masa semua orang dah boleh bekerja dan scam pekerjaan tengah rancak. Dia cakap dia dapat kerja di Cambodia, gaji lima angka, bilik hotel, makan free. Aku cakap jangan pergi. Dia pergi juga. Nasib baik dia sempat lari sebelum masuk kandang rimau. Dia balik Malaysia dengan trauma, dengan hutang, dengan muka yang tak sama macam dulu. Itu belum aku nak kisahkan pengalaman aku kena scam bekerja di Penang dan apa jadi pada tokei yang scam aku dan rakan aku seramai 13 orang, ini baru betul realiti bila kau ada melalui pengalaman itu,


Bila aku tengok Alif, Putri, dan Taqy di skrin, aku nampak muka kawan aku, aku teringat pengalaman aku di Penang. Tapi pengalaman mendengar ceritanya sememangnya tidak sama dengan garapan fiksi sang sutradara dalam filem ini. Aku selalu cakap dengan pelajar aku, kalau nak menulis, tulislah cerita yang dekat dengan diri. Yang pernah dialami sendiri. Tulis berdasarkan pengalaman. Untuk cerita ini, walau ia berdasarkan kisah sebenar, tapi rasa itu tiada. Filem ni banyak memberitahu, tapi aku tak merasa. Dan dalam sinema, merasa itu lebih penting dari mengetahui.

Filem ni bukan untuk semua orang. Kalau kau nak aksi non-stop, kau salah panggung. Kalau kau nak plot twist yang buat kau ternganga, kau salah panggung. Tapi kalau kau nak duduk diam, rasa sesuatu yang tak selesa, dan keluar dengan soalan "berapa ramai lagi sebenarnya mangsa yang macam ni?", mungkin ini filem yang kau kena tonton.

Aku rasa sinema Malaysia perlukan lebih filem macam ni. Bukan sebab ia sempurna. Tapi sebab ia berani. Berani untuk cakap yang dunia ni kejam. Berani untuk tunjuk yang impian boleh jadi perangkap. Dan berani untuk tanya, kalau kau di tempat mereka, kau sanggup buat apa untuk balik rumah?

Dan aku ada jawapan itu dengan pengalaman aku kerja di Penang itu, dan tindakan akhir itulah menjadikan aku manusia. Dan aku rasa sutradara takde jawapan. Tapi bila ditanya, kadang-kadang tanya tu tak cukup dengan memberi jawapan. Kau boleh je beri renungan tajam. Atau berdiam diri. Dan itu sudah cukup mendebarkan, jika kau faham filem tidak perlu diberitahu. Kau hanya perlu tunjuk. Walau filem itu bisu, pasti akan ramai yang faham.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular