REVISITING CINEMA #47 : BADAK (25)

BISU YANG BERSUARA, AYAH YANG TAK PERNAH DIDENGAR
 
Aku menonton filem ini di Jepun, sewaktu aku buat persembahan tentang ekosistem bikin filem mandiri di sebuah universiti di daerah Nagasaki. Bukan Tokyo yang sibuk, bukan Osaka yang bising, tapi sebuah bilik studio yang disediakan untuk aku, besar, sunyi, sejuk, dengan skrin smart tv yang lebih besar dari hidup, hampir tutup dinding. Seorang diri. Aku rasa macam tengok wayang zaman dulu, sebelum panggung multiplex jadi tempat orang makan popcorn dan bercakap dalam telefon.

Filem ni baru keluar Netflix masa tu. Di Malaysia, aku tak sempat. Atau aku tak cari. Kadang-kadang filem macam ni tak diberi umur panjang di panggung, penonton Malaysia mahu aksi, bukan cerita bapak dan anak yang duduk diam di flat tua.


BADAK ialah kisah seorang ayah tunggal yang tubuhnya besar macam namanya, Shaheizy Sam menambah 30 kilo untuk watak ini, tapi aku tak tahu masa aku tengok, aku hanya nampak seorang lelaki yang dunia dalam kepalanya sunyi, dan dunianya di luar bergantung sepenuhnya pada anak perempuannya, Mirah. Dia pekak. Dia bisu. Bukan bisu sejak lahir, tapi bisu sebab tak pernah didengar.
Raihan Halim bawa kita ke Kampung Baru. Bukan KL yang bersinar dalam iklan pelancongan, tapi lorong sempit, gerai burger yang minyaknya menggerutu atas dapur gas, flat tua yang dindingnya dengar segala rahsia keluarga. Sofyan Daud Mohamed memang tak pernah cantikkan kamera, dan di sini dia biar KL bernafas dengan kotoran dan hangatnya sendiri.


Plotnya lurus: bapa yang bergantung, anak yang mahu terbang. Tapi ada satu lapisan yang aku rasa filem ni cuba selit tapi tak berani gali, bapa Badak, lakonan Wan Hanafi Su, seorang lelaki tua yang jiwa musiknya masih hidup. Dia taksub dengan muzik. Dia tinggalkan dunia anaknya untuk nada-nada. Dan muzik itu turun ke cucunya, Mirah, yang jadi rapper, yang rapat dengan datuknya, yang tinggalkan Badak dalam kesunyian yang lebih dalam.

Aku tersentuh sebab aku rapat dengan bapa aku. Sebab bila Wan Hanafi Su muncul di skrin, aku teringat bapa aku yang dah pergi. Ada satu momen, Abah nak makan burger. Burger yang Badak masak, panas-panas untuk Bapak, burger yang jadi simbol kasih sayang yang tak terucap. Selepas makan, Abah beritahu Badak, anak kau sayang kau, tapi kalau kau terlalu mengongkong, dia akan jauh dari hati kau.
Aku terhenti. Sebab aku faham perasaan Badak. Kau dahlah pekak, bisu pulak tu. Ada bapa kau suka muzik, selalu tinggalkan kau. Ada anak perempuan kau suka muzik, rapat pulak dengan bapa kau.

Mana kau tak rasa terasing?

Mana kau tak rasa dunia ni punya satu frekuensi yang kau tak akan capai?

Tapi filem ni ada masalah. Banyak lapisan, tapi tiada satu yang digali sampai ke akar. Mirah nak jadi rapper, tapi kenapa hip-hop? Kenapa bukan rock, atau dangdut, atau apa-apa yang tak mengingatkan kau pada datuk kau yang meninggalkan kau? Filem tak jawab.

Badak sendiri, dia pekak bisu, tapi apa yang dia rasa bila dia tengok anaknya di pentas?

Apa yang dia bayangkan bila speaker menggegar?

Filem tunjuk dia ambil speaker anaknya, mainkan kuat-kuat, dan kena siram air oleh jiran.

Scene tu aku rasa pelik. Jiran masuk rumah orang, tarik paip bomba, bukak air, siram. Ini Jepun ke ini Malaysia?

Aku faham, mirror image. Setup, Mirah kena marah jiran sebab bising. Payoff, Badak kena siram sebab bising. Struktur naratif yang kemas. Tapi realitinya? Aku rasa ada seribu cara lain untuk Badak disiram, tanpa pecahkan realiti yang filem cuba bina. Tapi aku buat bodoh jelah. Dah itu cara dia panjangkan cerita.

Persona atau perwatakan, ini yang menyelamatkan filem. Kehadiran Wan Hanafi Su dan Shaheizy Sam menyumbang emosi yang cukup untuk aku terus tengok. Shaheizy Sam berlakon tanpa dialog, tapi matanya bercakap macam deretan puisi. Wan Hanafi Su, dia scene-stealer. Setiap kali dia muncul, skrin jadi berat.

Tapi watak lain? Tempelan. Aida Amron sebagai Mirah, reviewer lain puji dia "standout performer", tapi aku rasa dia berlakon baik untuk watak yang tak cukup tulen. Macam pelakon yang dapat skrip separuh masak, tapi dia masak habis dengan api sendiri.

Warna. Aku tak nampak warna main peranan dalam filem penuh emosi macam ni. Semuanya kelabu, coklat, kuning lampu neon. Mungkin itu realiti Kampung Baru. Tapi realiti emosi? Emosi ada warna. Emosi bapak yang terasing ada warna. Filem ni pilih untuk tak nampak.

Aku suka permainan bunyi. Bila dunia Badak, sunyi, hanya deruan bass yang dia rasa di dada. Bila dunia Mirah, hip-hop, lirik, deru kereta. Peralihan tu bukan gimmick. Tapi aku rasa filem ni boleh jadi lebih power kalau dia faham realiti hubungan bapa dan anak, faham apa tu musik yang mengalir dalam darah tapi tak boleh didengar, faham struggle orang pekak dan bisu yang bukan sekadar "tak boleh dengar" tapi "tak pernah didengar".

Kekurangan tu tak boleh disembunyikan walau banyak make-up menghiasi.

Akhir sekali, aku kenal dua orang member yang aku panggil Badak. Mereka tak pekak, tak bisu. Tapi mereka besar, mereka keras, mereka duduk sorang-sorang di sudut warung, dan dunia lalu tanpa tanya apa-apa.

Salut!

#revisitingcinema #senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular