REVISITING CINEMA #13 : MENCURI RADEN SALLEH (22)

Menonton filem ini, aku kembali teringat pada satu kolektif remaja belia di Johor pada pertengahan 90'an yang sangat licik dan bijak dalam menjalankan operasi scam dan pencurian. Aktiviti kolektif ini yang menjadi sebutan dan lagenda dalam dunia scam dan curi ini adalah apabila mereka mengambil job mencuri kontena yang berisi mikrocip komputer dan hingga ke hari ini, ada beberapa dari mereka yang hidup dan hidup selamat tidak menunjuk-nunjuk apa yang diperolehi dari job tersebut. Ada yang telah meninggal dunia, tapi apa yang aku lihat keluarga mereka terjamin hidup. Job yang dikatakan memberi pulangan sejuta seorang ini berjaya dilakukan. Aku waktu itu sangat respek dengan mereka, dan menonton filem ini sedikit sebanyak aku dapat rasakan keperluan dan keinginan watak yang mahu hidup mereka berubah.


filem mencuri raden salleh ini yang ditulis Hussein M Afmodjo dan diarahkan oleh Angga Dwimas Sasongko yang juga mengarahkan filem Filosofi Kopi mempunyai visi yang sangat menarik dalam mempersembahkan penceritaan. Salut kepada kedua mereka ini di atas kerja yang mengkagumkan dan hanya dibarisi pelakon muda yang berperanan seperti profesional dalam bidang mereka.

Filem ini yang menceritakan tentang satu kolektif yang dimulai dua watak iaitu Piko yang berkemahiran meniru manakala Ucup yang berkemahiran dalam pengodaman sistem berjaya menjual dan melukis sebuah karya lukisan. Mereka telah diberi tugasan untuk mencuri karya Raden Salleh bertajuk "Penangkapan Pangeran Diponegoro" dan mula bertambah kolektifnya dengan kemasukkan kekasih Piko bernama Sarah yang mahir dengan seni mempertahankan diri, Fella yang kaya raya dan bijaksan, Gofar dan Adiknya, Tuktuk yang mahir dalam automasi kenderaan. Mereka ini perlu berhadapan dengan mantan presiden bernama Pak Permadi yang mengugut Piko mengunakan bapanya yang berada di penjara.

berdasarkan persona dramatis diatas, filem ini mengambil arkitipe penceritaan 'The Quest' dalam menyampaikan visi dan matlamat penceritaan. Dunia arikitpe yang dipilih ada sedikit kaku dalam transisi kolektif memahami bahawa tidak mudah untuk berjaya dalam perancangan kerana pasti akan ada pengkhianat.

Pengenalan persona dalam dunia arkitipe penceritaan yang berjaya menyelamatkan transisi dari dunia yatim ke dunia kembara namun penceritaan sedikit terjeda dalam transisi dunia kembara ke dunia wira dimana watak tidak belajar sebenarnya. Aku rasa inilah poin sebenar Terajutama memberikan peranan watak kepada pelakon muda , adalah mahu memperlihatkan bahawa tanpa pengalaman, anak muda akan merangka strategi hanya mengikut perasaan dan ianya ternyata berjaya kerana aku dari awal telah mengagalkan pemilihan watak kerana selalunya filem "Heist" pasti akan dilakonkan watak watak yang sudah berusia. Transisi dunia wira ke dunia syahid menjawab segalanya dimana kolektif ini berjaya dengan strategi mereka dan belajar sesuatu dari pengalaman.

Aku perlu juga memetik beberapa kelemahan, dan aku rasa ianya adil untuk nyatakan dan berkongsi kerana aku hanya seorang lelaki yang suka filem dan kekadang juga aku tertidur waktu menonton kerana durasi filemnya yang panjang, lama dan visual penceritaan kurang memberi. ada beberapa momen kecil tidak berjaya dilakonkan, perasaan kasih sayang antara anak dan bapa yang dikhianati, perasaan cinta piko dan sarah juga amat kaku, kegagalan mengangkat emosi tidak dapat disasarkan, mungkin kerana kimia antara pelakon tidak dapat dicipta. Penetapan genre yang dipilih juga kurang bersesuaian namun segalanya terhapus dengan detik nano yang dianjurkan dalam filem ini.

Dan akhirnya, aku merasakan pawagam Indonesia memerlukan susuk bijaksana dan berani seperti Angga yang mahu mencipta aliran baru dalam sinema indonesia yang pada waktu ini seperti Malaysia, terlalu fokus pada filem seram dan drama. Angga mahu membuktikan Indonesia boleh menghasilkan filem yang spektakular dan berkos tinggi seperti Mencuri Raden Salleh. Berjaya atau tidak, masa pasti menentukan dan ia terbukti dengan kejayaan filem ini yang menjadi trendy di Netflix Malaysia yang melebihi 1.5 juta tontonan. Bagi aku, sebagai filem pembukaan terhadap satu projek filem trilogi, biarpun ada kekurangan, menurut penulis, filem ini dikatakan berjaya dan menjadi standard asas kepada sekuel triloginya yang lain dan berharap akan ada lebih ramai penerbit yang berminat untuk melabur dalam filem bergenre Heist ini.

Salut!

#revisitingcinema
#senimanjalanan

Ulasan

Catatan Popular