Revisiting Cinema #07 - Tiada Emas & Kuasa untuk Orang Tua yang suka main Kuda (22)

Aku membuat lawatan kembali untuk menonton dua buah filem. Satu filem lama dan satu filem baru. Sewaktu pandemik melanda aku telah melawat kembali filem filem di rak koleksi filem aku yang tersusun berdebu lama tak dipegang. Waktu pandemik itu, hampir 90% filem koleksi di rak itu aku tonton dan rak itu kembali bersinar, namun sinaran itu hanya untuk aku dan tidak sampai kepada sekian makhluk yang berada di bumi melayu bertuah ini dan tidak juga memberi hidayah kepada mana-mana persatuan atau agensi. 


Berbalik kepada dua filem yang aku tonton baru-baru ini. Tajuknya 'GOLD' tahun 2022, arahan Anthony Hayes dan satu lagi Tajuknya 'No Country For Old Men' tahun 2007, arahan Ethan Coen dan Joel Coen. Detik waktu hari ke hari yang berlalu, aku rasa arah tuju apa sahaja usaha yang dibuat seperti hilang arah, maka aku le bih banyak membaca buku dan menonton filem. Ya aku juga kehilangan arah, ada beberapa perancangan yang dirangka aku masih tidak dapat digerakkan walau ada sinar harapan tapi aku rasa tidak mampu untuk kehadapan, maka menonton dan membaca meberi aku sedikit keterbukaan dalam mencari jalan untuk memulakan langkah.

Filem pertama yang aku tonton adalah filem tahun 2007 arahan adik beradik Coen ini, filem ini sebenarnya aku tonton sewaktu menjadi pelajar filem di Backlot Universal Studio, namun waktu itu kefahaman dan kesedaran aku terhadap mesej dan kenyataan yang disampaikan agak samar. Menonton filem ini kembali kali ini, mesej dan kenyataan filem ini jelas sampai pada aku. Filem ini berkisarkan kehidupan seorang pemburu yang berubah secara drastik apabila dia menemui dua juta dolar semasa berburu dan terjumpa satu kejadian tembak menembak antara penjenayah selepas urusan dadah tidak dapat diselesaikan. Dia kemudian diburu dan dikejar oleh seorang pembunuh psikopat yang mahukan wang itu.


Filem kedua yang aku tonton adalah filem tahun 2020 arahan Anthony Hayes yang lebih segar dan menusuk fikiran aku dimana mesej dan kenyataan filem ini lebih jelas untuk aku hadam. Ianya berkisarkan dua lelaki yang menemui satu ketulan emas terbesar yang pernah ditemui dan mereka mesti mencari jalan untuk mengoreknya. Walau bagaimanapun, keraguan dan ketamakan mula timbul apabila kedua-dua mereka melaksanakan rancangan mereka. Penghianatan berlaku.

Apa yang menarik setelah menonton filem ini, aku bertemu satu jawaban terhadap segala permasalahan yang sudah sekian lama menjadi kurap dalam pembangunan negara ini. Filem pertama memberitahu aku bahawa sebuah negara yang sedang membangun dan mempunyai hasil yang banyak tidak akan dapat dikawal sumbernya sekiranya yang mendapat kuasa itu pentingkan diri sendiri. Pentingkan orang yang dia sayang walaupun dia tahu dia boleh mati bila-bila masa sahaja kerana musuh sentiasa menunggu peluang terbaik untuk menyerang dan akan ada sahaja musuh yang kau tak kenal akan menyerang kau dari arah yang berbeza.

Aku petik dialog yang satu ini dimana, kekuasaan pada waktu sekarang ini boleh didapati melalui jalan belakang. Dialog itu berbunyi dan dinyatakan oleh watak Ellis.

"All the time you spend trying to get back what's been took from you, more is going out the back door.

Jelas apa juga yang kau usahakan dan segala masa yang kau habiskan untuk membawa kau ke tempat yang kau mahu tuju, lebih cepat kau dapat melalui pintu belakang. Aku dapat rasakan dan melalui hidup dibawah pemerintahan bapak pemodenan atau aku lebih suka nyatakan bapak penyamun jelas diajar kepada semua orang bawahan beliau bagaimana kau perlu capai kekuasaaan dan hari ini semua itu jelas dan benar. Orang-orang tua yang memimpin ini lebih suka guna pintu belakang untuk berkuasa. dan apa solusi dari filem ini untuk membanteras orang orang tua ini adalah letak mereka berehat di rumah orang tua menghabiskan sisa hidup mereka atau bunuh sahaja semua mereka dan keturunan mereka. Lihat pengakhiran keluarga pemburu yang akhirnya ditamatkan hidup mereka walau mereka tidak bersalah. Selesai.

Menonton filem bertajuk 'Gold' pula aku suka dengan kata-kata ini, “I'll not rest till I have me gold. Curse this well that me soul shall dwell, till I find me magic that breaks me spell.” “Try as they will, and try as they might, who steals me gold won't live through the night.”

Kata-kata ini mengingatkan aku untuk tidak sesekali menjadikan kuasa yang dimiliki itu adalah hak, kerana kerana kuasa aku juga boleh dipermainkan dan dikudakan. Aku mungkin boleh jadi tuli dan buta, kerana kuasa aku buat sahaja janji kuasa ditangan aku namun dalam waktu singkat, jiwa aku perlahan-perlahan dibunuh dan aku akan mati dengan kuasa yang aku ada.

filem ini juga memberi aku perspektif berbeza dalam melihat drama politik negara, dimana aku melihat Menteri Kesihatan seperti watak yang dieprankan Zac Efron iaitu Manone yang jelas nampak beijaksana dan berakal tetapi itu semua tidak berguna bila dia menjumpai ketulan emas itu dan Pengarah dan juga pelakon yang memerankan watak Keith iaitu Anthony adalah tangan hitam yang berselindung mengarahkan Manone untuk mengawal ketulan emas itu dengan nyawanya. Sanggup membunuh orang tidak berdosa demi kuasa dan akhirnya mati diratah dubuk-dubuk liar (rakyat yang marah).

Kesekian kalinya, ini adalah hanya perspektif aku dari membaca setiap bingkai visual bergerak dalam kedua-dua filem tersebut. Banyak lagi filem yang aku boleh kaitkan dengan mana-mana watak dipentas dunia ini dan akhiran mereka bila mereka tidak berkuasa namun aku tidak mahu menjadi pak belalang mereka-reka perkara yang tiada kerana aku tidak pernah menjengah masa hadapan. aku hanya mahu rasa bebas. Menonton dan berkongsi perspektif aku, pandangan aku sebagai marhaen yang selesa dengan apa yang aku ada.

Semua dari kita masing-masing punya harapan, harapan mahu dibebaskan dari belenggu orang-orang tua yang tamak dan lupa diri dan hanya mahukan kuasa dan generasi yang mana aku malu juga nak nyatakan bila ada kuasa hilang timbang-tara dan bijaksana dalam membuat keputusan demi kuasa dan harta dunia yang sementara. 

Sedang ada sahaja waktu aku melihat ada yang lebih susah dari aku, tiada dapat bantuan dari mana-mana tetap dapat kuntumkan senyuman dan bahagia melalui waktu-waktu payah ini dengan redha.

Sehingga kita jumpa lagi di perkongsian bingkai filem yang lain.

Salut!

Ulasan

Catatan Popular