Revisiting Cinema #06 - The Last Duel (21)

Filem ini ditonton perlahan dan emosi bertaut perlahan kerana diceritakan dari tiga sudut kisah yang menjadikan aku sedar bahawa kepercayaan kau terhadap cinta tidak menjadikan kau boleh melakukan apa sahaja dan meluahkan rasa cinta kau yang berlandaskan nafsu dan keberanian kau membela bangsa demi agama juga tidak menjadikan kau lelaki sekiranya kau tidak menghormati wanita yang kau kasihi.

Filem ini mengajar banyak perkara dalam kau mengenal cinta dan tuhan. Pengorbanan kau sebagai isteri, Pengorbanan kau sebagai hamba kepada tuhan kau dan keberanian kau mengenggam bara api demi sebuah kebenaran walau kau tahu yang kau pertaruhkan adalah nyawa kau dan orang yang kau sayang.

Aku merasakan filem ini mengajar aku melihat bagaimana penceritaan ini boleh menginspirasi pemikiran aku sebagai penglipurlara yang kreatif melihat ruang olahan cerita dari sudut pandang penulisan dan pengarahan yang aku rasa auteur filem melayu zaman dulu banyak bermain dengan gaya penceritaan begini.

Salut!

Filem ini, walau ritma pengulangan, serta tona rentaknya cukup halus dan dalam, penghayatan terhada penyampaian emosi dalam dialog diperlukan untuk memaut perasaan terhadap penindasan kejam yang berlaku dari segi emosi dan fizikal bagi setiap perwatakan dalam bingkai yang membawa kepada puncak perwatakan yang melepaskan segalanya kepada ketentuan tuhan dan keberanian mempercayai cinta akan terus hidup walau dalam dusta. Ini adalah filem yang menuntut penonton bertahan terhadap keletihan emosi dan kewibawaan intelek. Ya, adakala nampak huru-hara dan berlebihan, namun diakhirnya terbukti yang ianya sebuah filem yang sangat provokatif.

Ianya sebuah sinema yang menyentuh nuansa dan naratif penceritaan, tekun dan cekap menyusun penerokaan kisah Marguerite dirogol, sedangkan perogol menyatakan dia cintakan dan tidak sanggup menahan dan menyimpan rasa cintanya lagi dan apa yang dilakukan itu berlandaskan cinta sedangkan di atasa garis sedar ia adalah satu provokasi terhadap lelaki hidung belang yang hanya hidup berpandukan nafsu. Sangat halus. Aku menonton dan sambil itu menerawang kembali adegan filem Sumpah Semerah Padi yang mempunyai rasa yang serupa.

Adakah kita mampu menulis kembali seperti ini dalam mengubah persepsi penceritaan. Penulis boleh sekiranya dikurung dan dipaksa seperti hikayat mamat khalid sewaktu menulis kisah Puteri Gunung Ledang, kalau tidak dibuat begitu Penulis kita masih lemah dan seronok menulis tanpa ada hikmah. Sepertimana budaya musik rok, dibebaskan suaranya dalam filem Kembara Seniman Jalanan dan masih menjadi topik hangat tentang peradaban politik berkiblahkan kuasa dan wang.

Penindasan kepada bangsa marhaen jelas diceritakan. Ini adalah sebuah sinema yang ditulis dan dibingkai demi memperjuangkan kepercayaan diri dan kepercayaan kepada orang yang telah bersumpah untuk menjaga maruahnya dan menggunakan tema feminisme tanpa perlu menunjuk-nunjuk dan mahu menjadi pejuang feminisme, terajutama berani meletakkan kisah heroine dalam sinema ini di tempat paling akhir namun kasih dan jiwa yang terluka dijaga dengan keberanian perjuangan sang lelaki yang beraksi dan berjuang mempertaruhkan nyawa hingga sanggup mati.

Gelanggang yang diatur reka umpama sebuah tempat beradu kasih, siapa yang lemah akan terkulai lemas berdarah dan akhirnya mati. Metafora amarah semarak api dalam diri pahlawan setelah matinya kuda perangnya bukan tanda pengkhianat sudah menang namun ianya gambaran bahawa lawan sebenar baru menjejak kakinya ke tanah dan menjunjung langit demi kebenaran. Tragis dan simbolik.

Dan akhir sekali, sinema ini dengan segala pretensi terhadap apa yang belaku dan kaitannya terhadap zaman serba moden ini sangat berkait dan perlu kebangkitan sebenar, apa yang aku pelajari dari sinema ini adalah terjutamamya, Sir Ridley sememangnya sangat selesa mempertaruhkan watak-wataknya berlawan mengacung pedang dan mengelar dan mengalir darah ke muka bumi dan tidak mengendahkan apa sebenarnya rintihan dan keluhan seorang wanita atau isteri. Lelaki memang kejam.

Salut!

Ulasan

Catatan Popular