Revisiting Cinema #05 - Last Night in Soho (21)

MENYELAMI MAKSUD MIMPI DAN MAKNA MISOGINI DAN NOSTALGIA

Filem terbaru dari Edgar Wright ini menjalinkan kisah waktu ini dan kisah era 60'an dalam kejelekan tabiat manusia yang menjijikkan.

'Last Night in Soho', filem terkini daripada pembikin filem British, Edgar Wright, adalah sebuah filem thriller Hitchcockian yang dilimpahi dengan warna seram gaya giallo. Gaya Giallo pula adalah sejenis filem seram yang menggabungan filem slasher dan jenayah. Genre ini agak kabur, tetapi ada beberapa filem yang baik. Wright pernah bikin filem dan bergumpal dengan darah sebelum ini (dia mencipta nama dengan filem Shaun of the Dead) tetapi filem Soho ini menjerumuskan dirinya sepenuhnya ke dalam genre ini – ia adalah filem pelik, adakala menakutkan dan punya unsur neo-noir (cuma tiada penyiasat) dan boleh ditonton berulang untuk rujukan.

Filem ini digayakan Wright dengan warna yang sekaligus memberi kesan emosi waktu aku menonton. Aku sangat suka kalau ada pembikin filem yang bermain dengan cahaya warna ini. Bergabung dengan gaya sinemtografi pembikin filem Oldboy dan IT, Chung-hoon Chung, aku seperti disihir untuk melekat dan tidak berkelip mata menonton. Berani bermain dengan jalan cerita seperti diulit mimpi memberi kualiti yang berbeza berbanding karya beliau yang sebelumnya.

Rentetan filem ini bermula pada malam pertama Eloise / Sandie pada tahun era 60-an di Soho, Utara London, dengan permainan lampu dan muzik dimainkan selari dengan pergerakan tarian wanita yang anggun dan penggunaan cermin yang bijak menunjukkan bagaimana kedua-duanya saling berkaitan bukan secara fizikal, tetapi dari segi mental dan rohani. Dan apabila filem progres, mimpi Eloise berubah menjadi ketakutan apabila Sandie secara tragis dilemparkan ke dalam sarang buaya yang penuh dengan misogini dan impiannya semakin pudar dan terus hilang, dengan warna-warna yang mengancam dan mimpi itu berubah menjadi mimpi ngeri tanpa ikhsan dan ia memberi kesan emosi kepada Eloise yang berada di Soho pada zaman ini.

Filem ini adalah pandangan suram tentang nasib yang menimpa terlalu ramai wanita dalam masyarakat patriarki; bagaimana lelaki memanipulasi, menggunakan dan mendera wanita yang ditawarkan dengan sangat sedikit pilihan selain menundukkan diri mereka kepada lelaki hidung belang. Hilang segala harapan akan kehidupan yang mereka impikan.

Ini pastinya berlaku dalam dunia hiburan era 60 an dan Wright menggunakan tempoh itu dan pandangan Eloise yang diperlambangkan dengan warna merah jambu untuk mengkaji bagaimana nostalgia boleh membutakan kita kepada realiti terhadap perkara yang mengerikan. 

Apabila Sandie mula-mula tiba di kelab, warnanya kelihatan cerah, ceria dan meriah dan bintang muda itu tidak sabar untuk naik ke atas pentas. Pada masa dia membuat persembahan, kebenaran tentang hidup dalam dunia dipertontonkan dan itu adalah mustahil untuk dinafikan. Segala persembahan dipaparkandengan  sangat memalukan, ianya adalah ruang dan tempat yang sesat untuk pengunjung kelab itu yang terdiri dari ahli perniagaan tua, pemabuk dan hanya  mahu melihat tubuh wanita sambil menari dan kalau berkesempatan dapat melepaskan nafsu mereka.

Ianya jijik, misogini yang sangat nostalgik dan aku tak rasa seram tapi seronok dengan gaya cerita dan sinematik visualnya yang baik.




Ulasan

Catatan Popular