Revisting CInema #04 - From Dusk Till Dawn (96)
Teringat pesan Opah waktu mecil dulu di Kg. Berop Tanjung Malim, jangan bermain waktu senja kerana waktu itu banyak setan berkeliaran. Macam angin lalu je apa yang Opah jeritkan waktu aku kanak-kanak dulu. Macam takde apa, aku akan melalui kebun getah dari umah Mak Tua di Ketoyong untuk balik ke rumah Opah di Berop, selalunya memang dah dekat atau memang waktu senja. Dan takde aku diganggu setan tapi kebiasaan disalak dan dikejar anjing kebun getah yang dilepaskan tuan tanah kedarok. Banyak kali jugalah bersamak satu badan sebab berkelahi dengan anjing penjaga kebun.
Dan menonton filem 'From Dusk Till Dawn' ini yang ditulis oleh Quentin Tarantino dan diarahkan oleh Robert Rodriguez ini, aku tak rasakan sangat baik waktu menonton dalam bentuk VHS yang disewa dan disaran oleh Cik Arab dari Kedai Video Surabaya itu, namun aku dapat perasaan berbeza menonton filem ini baru baru ini. Aku merasakan filem ini seperti sebuah filem rojak yang mengabungkan gaya Joh Woo yang bertemu gaya George Romero dan mempunyai sedikit gaya penceritaan penulis Jim Thompson yang menulis novel bergenre jenayah pulpa. Oh, Jim juga orang yang membuka jalan buat Quentin dan beberapa pengarah lain memulakan karier.
Filem ini diperkuatkan lagi dengan beberapa bintang seperti Harvey Kietel, Juliette Lewis dan George Clooney. Quentin juga memgang watak sebagai adik George yang psiko. gabungan Quentin dan Robert telah membuat duni perfileman waktu itu menumpukan kepada filem ini seakan mereka bakal menghasilkan sebuah filem yang mampu mengangkat keduanya ke tahap yang lebih tinggi.
Aku teruskan kefahaman aku setelah menonton filem ini kembali baru-baru ini dan aku merasakan FDTD ini dimulakan dengan sesuatu yang memualkan dalam kelakuan kejahatan dengan memperkenalkan dua saudara lelaki yang melarikan diri dari ditangkap polis telah terperangkap dalam dunia Pontianak yang digambarkan seperti dalam sebuah sarang neraka yang penuh dengan setan. Quentin seperti biasa tidak boleh lari dari memegang struktur dan arkitipe penceritaan yang mengangkat tema penebusan diri seperti dalam 'Pulp Fiction' melalui Harvey Keitel, seorang paderi yang hilang kepercayaan pada tuhan dia namun dia menjadi penyembelih pontianak dan menebus dirinya dengan menjadi pontianak untuk menyelamatkan anak-anaknya. Dia akhirnya mati dibunuh dan anak angkatnya juga mati dibunuh oleh pontianak. Serius! aku rasa sangat satira persembahan QT dan RR dalam filem Cheech ini.
kembali pada watak utama iaitu Seth dan Richard Gecko, aliran cerita filem ini berlandaskan novel karya Jim Thompson bertajuk 'The Getaway' dimana Seth mempunyai sikap dan sifat seperti orang lain dan kelihatan normal, dia membunuh bila perlu namun adiknya Richard pula seorang psiko, keinginan membunuh yang tinggi dan sering paranoid. Gabungan sifat mereka melahirkan babak-babak lelucon dan janggal.
Setelah mereka melakukan pembunuhan akibat sikap paranoid Richard, mereka telah 'HIJACK' trak kembara yang sedang dipandu Harvey menuju Mexico untuk memulakan hidup baru setelah kematian isterinya. Mereka telah menjadikan mereka tebusan untuk melinatasi sempadan. Mereka singgah di sebuah kedai makan dan semuanya bermula disini.
Kedai yang hanya menyediakan minuman dan makanan kepada pemandu trak sahaja. Harvey yang merasakan perlu melakukan penebusan diri telah membantu mereka dengan berkata dia adalah pemandu trak. Ini dinamakan malang tidak berbau, mereka tidak sedar mereka telah tiba di pintu gerbang neraka dan aku merasakan babak bermulanya setan-setan ingin menjamu selera dan seperti gaya maestro filem seram Itali iaitu Dario Argento, filem Dario bukan untuk semua dan aku hanya menonton bila perlu sahaja sebagai rujukan.
Quentin jelas menguasai penceritaan yang digarapnya dan Robert berjaya mengawal setiap babak dengan penceritaan visual beliau. Kedua-dua mereka mengabungkan teknik dan gaya masing-masing dengan pengunaan shot yang huru-hara dan penuh pergerakan. Mmereka berjaya mengeksploitasikan bahan yang mereka ada. Rodriguez pula dalam filem ini mengambil rasa dan rupa penceritaan Tarantino yang memaparkan keganasan pada tahap yang tinggi dan memberi sedikit unsur komedi dan terus membakar penonton dengan letupan dan darah.
Pembikin filem baharu boleh belajar dan praktik segala teknik yang dilakukan dalam filem ini dan bagaimana ia kekal memegang kekuatan cerita hingga ke akhir filem.
Rodriguez dalam filem ini mengangkat unsur humor dan beliau membawa masuk Cheech Marin dan beliau menjadi anggota polis sewaktu mereka mahu menyeberang sempadan dan aku perhatikan dia mengunakan nama sebenar beliau pada tag nama beliau dan kemudian menjadi hos yang menjemput pemandu trak untuk masuk ke dalam kedai makan dan akhir sekali diakhir filem dan dua babak Cheech ditumbuk seorang lagi iaitu Fred Williamson, seoarang veteran NAM yang sepatunya tidak berada di situ dan terlibat dalam pembunuhan pontianak beramai-ramai itu.
Kesemua ini nampak seperti senang dilakukan namun Quentin dan Robert telah melakukan sesuatu yang luar biasa dalam mengabungkan komedi, darah dan homage beberapa filem. Keupayaan menyusun plot cerita dengan visual satira serta sedikit subteks. Ada dua cara yang mereka ambil dan menonton kembali filem ini baru-baru ini aku sedar bahawa filem ini adalah gelanggang mereka berdua.
Tiada siapa mampu menghalang mereka untuk buat apa yang mereka mahu. Suka hati mereka lah kalau ianya berjaya atau tidak dan aku yang menonton kembali filem ini baru-baru ini rasa ini adalah sebauh filem yang boleh dirujuk pelajar filem atau pembikin filem baru sebagai buku rujukan. Semuanya ada dalam ni dan sebab itu aku tak hairan, Quentin dan Robert membikin filem ini sesuka hati mereka.
Akhir kata, adik-adik pastikan balik rumah sebelum senja tiba ya. Kalau tak takut kena sorok setan.
Ulasan