REVISITING CINEMA #49 : LIBANG LIBU (2026)
"KAMPUNG YANG TAK MAHU DIAM, CERITA YANG TAK MAHU HABIS"
Aku menonton filem ini selepas seharian ada urusan, pagi di Masjid KLCC, selepas zuhur ke Asrama Putri, petang ke Laundrybar. Baru nak makan, aku dan awek aku terfikir nak tengok wayang. Tak tahu cerita apa, semak ada filem ni, tanpa basa-basi kami setuju. Bertih jagung dan air oren jadi pilihan sepasang kapel yang romantis, menemani kami menonton sinema, pelan nak makan tak jadi, kami tonton sinema.
Trailer-trailer sebelum ni ada yang menarik, ada yang ntah apa-apa. Ada satu trailer cabar penonton Malaysia tengok filem hantu dia yang tak seram tu. Pemasaran jenis apa ni? Hardsell sangat. Dan filem Libang Libu bermula dengan memperkenalkan Man Filem, ini watak utama ya, bukan Along Alid yang semua orang cakap. Aku rasa penulis yang ramai-ramai menulis filem ni pun tak defined siapa watak utama. Punyalah ramai menulis tapi tak tahu siapa watak utama. Yelah, penulis rakan-rakan yang dia suka, dia peduli apakan. Aku je yang ambil peduli hal menulis cerita ni. Penulis macam penulis cerita ni, dia dah popular, dia peduli apa betul ke tidak cara dia menulis. Aku tahu tu, aku kenal. Sebab dulu dia memang menulis dengan baik, tapi sejak viral sebab kerjanya tak dibayar, mungkin menjadi asbab nikmat menulisnya ditarik.
Cerita ini sangat mudah nak dihadam. Kisah adik abang, adik kerja produksi, abang kerja kampung. Ada awek gedik, dia macam sekuriti kampung tak bertauliah yang ada adik-adik. Ditambah konflik awek dia, si Yong punya bapak nak kahwin dengan kawan dia si Timah. Kawan si Timah si Chom jeles, nak breakupkan perkahwinan tu dengan guna sorang mamat bahlol gemuk, perut boroi takde leher macam kambing pendek, yang jahat gila fitnah orang je kerja dia. Si mamat ni shiok kat si Timah, dan si Man Filem sebelum kerja produksi, tu punyalah rapat dengan si Chom. Sebab dia tahi judi, dia mainkan hati si Chom dengan menulis surat cinta kononnya dari pakcik dia Si Andak yang nak kahwin di Si Timah. Si Chom pulak dah macam kena sapu minyak seyonyong, percaya kat tahi judi yang tengah terdesak nak cari duit. Panjang lah cerita yang aku rasa penulis sendiri tak tahu bagaimana ide ni jadi. Kalau aku minta penulis susun dari awal struktur cerita dia ni, aku rasa dia pun serabut.
Beto Kusyairy sebagai Along Alid. Aku nampak dia berubah dari watak ke watak macam kameleon yang makan rokok. Di sini dia bawa RX-S, bahu senget, rokok kat tepi bahu, muka macam orang yang tahu semua rahsia kampung tapi taknak cerita. Chemistry dia dengan Amerul Affendi, "Kamu nak tahu ke idak?" "Tahu apee!!", orang lain gelak, aku tersenyum je. Bukan sebab lawak tu tak genius, tapi sebab aku sibuk fikir struktur cerita ni macam mana nak jalan. Timing tu ikhlas, macam kawan kau sendiri buat lawak bodoh. Tapi kalau kawan kau tu sendiri tak tahu cerita apa dia nak cerita, kau gelak ke kau risau?
Ada Fikri Ibrahim sebagai Shakoor Rahman, e-hailing number one. Scene cinta satu malam dia viral di TikTok sebelum filem keluar. Aku tengok, aku rasa scene tu lebih sedih dari lawak. Sebab kita nampak lelaki yang rasa dia hebat, tapi sebenarnya dia sesat, macam filem ni sendiri. Ada Sabri Yunus sebagai Pok Yie, watak yang mencuri tumpuan. Dia masuk, semua orang senyap sekejap, pastu gelak balik. Tapi aku rasa lawak dia macam orang tua yang kita paksa lawak sebab kita sayang dia. Sara Ali, lama tak nampak, pakai baju KAMI. Aku jumpa kawan lama yang dah berubah tapi masih sama, sama je macam dulu, takde perkembangan.
Menonton filem ni macam beriya-iya nak jadi macam arwah Mamat Khalid dan macam Stephen Chow. Ada gaya, tapi menjadi pembikin filem ni perlu ada suara sendiri yang jelas. Ini kome meniru gaya, mana ler nak jadik ceritanya. Orang yang tak tahu, atau yang rindu filem Melayu ala Mamat Khalid, pasti siyor menonton sampai tergelak-gelak tak tentu hala. Ini yang penulis mahukan, biar yang menonton tergelak dan tak faham ceritanya. Tapi aku tak dapat rasa bahagian tu. Sebabnya, seperti aku baca komik Lat, aku rasa dekat sebab penulis dan pelukisnya berkongsi perkara yang dekat dengan dirinya. Sama juga filem-filem arwah Mamat Khalid, dia bikin dan tulis filem yang dekat dengan diri dia, sebab tu ianya melekat kat semua. Tapi filem ini berusahalah, aku respek bab usaha ni. Tapi janganlah kome nak menipu sebab kome ada pengalaman buat iklan komersial ke apa ke. Buatlah sejujurnya, tulislah sejujurnya, kongsilah pengalaman yang dekat dengan kamu.
Plot macam meja kenduri, ada rendang, ada mee hun, ada air kotak, semua campur. Tapi tuan rumah sendiri tak tahu mana hidangannya. Villain muncul macam Scooby-Doo, tiba-tiba, tanpa setup. Plot hutang crew yang menarik di awal hilang, pastu muncul balik macam hantu. Flashback rasa macam filem lain masuk. Filem ni shot di Perak, rumah kayu, sawah hijau, langit kelabu petang. Bobby nak tunjukkan libang libu, kecoh, huru-hara, tak ada struktur. Sebab kampung macam tu. Tapi kampung juga ada jalan. Kampung ada lorong, ada jambatan, ada jalan tikus yang orang kampung sendiri tahu. Filem ni tak ada jalan. Dia ada lorong, ada jalan tikus, tapi semua buntu.
Lawak Pok Yie yang tak mandi, lawak e-hailing yang sesat, aku faham. Kalau kau dari kampung, kau tahu lawak tu hidup. Tapi hidup lawak tu tak boleh selamatkan cerita yang mati di tengah jalan. Ramai orang kasi 3/5 filem, 4/5 komedi. Aku rasa tu unfair. Sebab komedi dia adalah drama dia, drama dia adalah komedi dia. Macam hidup, kau gelak, pastu kau nangis, pastu kau gelak balik. Tapi dalam hidup, kau tahu kenapa kau nangis. Dalam filem ni, aku tak tahu kenapa aku kena gelak.
Aku terhibur separuh. Separuh lagi aku risau. Risau sebab aku nampak bakat, Beto, Amerul, Sabri Yunus, Sara Ali, dan semua barisan pelakon, semua ada bakat. Tapi bakat diorang disia-siakan dalam cerita yang tak tahu nak ke mana. Macam RXZ-S yang Beto bawa, enjin kuat, tapi steering tak betul, lalu dia bawa masuk longkang. Bukan longkang besar, longkang kecil yang kau boleh keluar, tapi malu sikit.
Kalau kau nak filem yang kemas, pergi tengok Marvel. Kalau kau nak filem yang bau tanah, bau peluh, bau rokok dan asap ekzos RX-S datang tengok Libang Libu. Tapi jangan bawa popcorn, bawa peta. Sebab kampung ni tak ada jalan, dan cerita ni tak pernah sampai.
Akhir kata, sori taw. Aku tulis macam ni. Harap kome tak nangis macam Pok Yie.
Salut!
#revisitingcinema #senimanjalanan
Ulasan